DUNGUN: Padah memuat naik video menunggang motosikal Yamaha RXZ dengan tidak mempamerkan nombor pendaftaran, seorang instafamous wanita didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Afifie Laila Abdullah, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab. Latif.
Berdasarkan pertuduhan, wanita yang sudah berkahwin itu didakwa menunggang motosikal dengan tidak mempamerkan nombor pendaftaran hadapan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kampung Padang Pulut di sini, kira-kira pukul 6.15 petang,12 Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Samsul Ab. Wahab mengikut Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM300 hingga RM3,000, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan Afifie Laila dikompaun RM300 oleh JPJ kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal Yamaha RXZ dan kesalahannya itu dikesan pihak berkuasa selepas video yang dimuat naik tular dalami media sosial.
Sementara itu, Afifie Laila ketika ditemui pemberita berkata, dia mengambil iktibar dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.
“Selepas ini saya lebih berhati-hati ketika membuat sebarang reviu kandungan di laman sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE