Ingkar SOP terus turun lagi kepada 611 individu - Utusan Malaysia

Ingkar SOP terus turun lagi kepada 611 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam jatuh lagi untuk hari kedua berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 305 individu ditahan semalam berbanding 400 individu diberkas kelmarin dan 611 individu dicekup pada Ahad lalu.

“Daripada jumlah itu, 296 dikompaun, lapan direman dan seorang dijamin dengan kes tertinggi ialah gagal menyediakan alat rekod butiran diri sebanyak 122,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ini diikuti kesalahan tiada pelitup muka (80), rentas kawasan tanpa izin (48), tiada jarak fizikal (40), aktiviti pusat hiburan (17), premis dibuka lebih masa (5) dan lain-lain sebanyak 15 kes.

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 71,392 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,412 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, 15,310 anggota itu semalam memantau 6,206 restoran, 4,209 pasar raya, 3,901 bank, 3,392 rumah ibadah, 2,386 penjaja, 2,568 pasar awam dan 1,589 kilang.

Turut dipantau ialah 1,546 tempat riadah serta 1,078 pejabat kerajaan selain 1,997 terminal pengangkutan darat, 307 terminal pengangkutan air dan 120 terminal pengangkutan udara.

Seramai 12 pendatang asing tanpa izin ditahan dan 14 lagi yang lain telah diusir semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.

“Sebanyak dua kenderaan darat dirampas selain sejumlah 129 bot atau kapal yang dicurigai dikesan dekat perairan negara melalui lima operasi penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 446 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 77 operasi sanitasi awam dilaksanakan di negara ini semalam yang meliputi 28 zon merah, lapan zon jingga, lapan zon kuning dan dua zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 336 anggota bomba selain 190 anggota pihak berkuasa tempatan dengan penggunaan sebanyak 67 buah jentera bomba di seluruh negara.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 816 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,549 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 76 buah hotel serta 13 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 850 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 126,619 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 543 peruncit, 163 pemborong dan 31 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,199 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan enam premis diberikan nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN