PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan jangkaan kadar inflasi lima peratus pada tahun ini dan bakal memberi kesan besar kepada rakyat yang kini berhadapan peningkatan kadar pengangguran serta terjejas pendapatan.
Katanya, lebih mengejutkan kadar inflasi tidak meningkat ketika pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan kadarnya antara 2.09 hingga 2.1 peratus pada 2015 dan 2016.
“Saya tengok balik unjuran inflasi terakhir Bank Negara pada akhir bulan November 2020 dengan menjangkakan inflasi akan menguncup tahun ini.
“Tetapi tidak sampai empat bulan kemudian, inflasi pula dijangka akan melepasi kadar lima peratus. Sudah tentu kadar inflasi lima peratus akan memberi kesan kepada rakyat pada ketika kadar pengangguran yang tinggi dan pendapatan telah berkurangan.
“Adakah Bank Negara akan menaikkan kadar faedah bank tak lama lagi untuk membendung inflasi,” soal beliau dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, inflasi keseluruhan negara dijangka meningkat secara sementara melepasi paras 5.0 peratus pada suku kedua tahun ini sebelum menyederhana secara purata antara 2.5 peratus dan 4.0 peratus bagi tahun ini.
Inflasi keseluruhan yang mengukur jumlah inflasi ekonomi, termasuk komoditi seperti harga makanan dan tenaga ialah pada -1.2 peratus pada suku kedua 2020 semasa negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan virus Covid-19.
Peningkatan sementara kadar inflasi pada suku kedua itu disebabkan kesan asas yang rendah berikutan penyusutan harga bahan bakar pada suku yang sama tahun lalu. – UTUSAN ONLINE