Iklan rumah sewa kaburi sindiket arak seludup - Utusan Malaysia

Iklan rumah sewa kaburi sindiket arak seludup

SINDIKET penyeludupan menjadikan sebuah rumah kosong dengan banner untuk dijual atau disewa sebagai tempat simpanan arak seludup di Bandar Dato Onn, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Taktik licik sindiket penyeludupan arak menggunakan rumah kosong yang diiklan untuk sewa atau jual sebagai premis simpanan arak seludup di Bandar Dato’ Onn, di sini berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarahnya, Sazali Ahmad berkata, jenayah sindiket itu dibongkar pihaknya menerusi dua serbuan di dua premis berlainan yang dijalankan masing-masing pada pukul 3 petang dan 11.45 malam, Sabtu lalu.

Menurutnya, serbuan pertama yang dijalankan pihaknya mendapati premis terbabit dalam keadaan gelap dan mencurigakan.

“Semasa pemeriksaan dibuat, kami menemukan pelbagai jenis minuman keras berjumlah 4,828 botol dan 7,128 tin yang dianggarkan bernilai RM385,012 termasuk duti dan cukai sebelum ia disita.

“Usaha mengesan pemilik premis sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, menerusi serbuan kedua pula, pasukan sama menyerbu sebuah premis yang dikesan menggunakan taktik serta modus operandi serupa.

Menurut Sazali, dalam serbuan itu pihaknya merampas 2,322 botol dan 1,176 tin minuman keras termasuk duti dan cukai disita dengan nilai berjumlah RM128,736.

“Kastam turut menyita 1,400 liter minuman keras dipercayai belum lulus kastam disembunyikan dalam ruang tamu di rumah kosong tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati rumah tersebut tidak berpenghuni dan terdapat gegantung di luar rumah menyatakan rumah tersebut hendak dijual atau disewa,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, usaha mengesan pemilik premis terbabit juga sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang larangan yang memperuntukkan denda minimum 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 jika sabit kesalahan bagi kali pertama.

“Denda itu mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Tambah Sazali, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada rampasan di kedua-dua rumah tersebut didalangi sindiket yang sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya