Ibu tunggal bergelut besarkan sembilan anak - Utusan Malaysia

Ibu tunggal bergelut besarkan sembilan anak

NASIR Ishak (kiri) ketika menyampaikan sumbangan daripada MAINJ kepada keluarga Ronimah Haron (tengah) ketika mengadakan kunjungan bersempena program Jejak Asnaf MAINJ di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibu kepada sembilan anak bergelut dengan masalah kewangan setelah suaminya yang merupakan sumber utama pendapatan keluarga meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung pada hujung bulan lalu.

Ronimah Haron 44, berkata, dia kini terpaksa bergantung kepada punca pendapatan anak sulung serta anak keduanya yang masing-masing bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah dan kilang bateri di kawasan Tebrau. 

Suri rumah sepenuh masa itu berkata, dia tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anak-anak yang lain dengan lima daripadanya masih berada di bangku sekolah termasuk seorang anak yang dikategori sebagai orang kurang upaya (OKU) yang berusia 18 tahun.

“Suami, Mansor Ahmad, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Februari lalu. Kehidupan kami sekeluarga terus berubah apabila hilang tempat bergantung.

“Mahu tidak mahu, saya terpaksa bergantung harap kepada dua anak saya yang sudah bekerja. Pendapatan mereka tidaklah seberapa, namun, itulah sahaja sumber kewangan kami sekeluarga.

“Bukan saya tidak mahu bekerja mencari duit lebih, tetapi, kalau saya bekerja, siapa hendak uruskan anak-anak lain yang masih bersekolah termasuk yang OKU setelah terlibat kemalangan ketika berusia 12 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ronimah mempunyai sembilan cahaya mata berusia enam hingga 22 tahun.

Nasib yang dialami oleh ibu tunggal itu mendapat perhatian pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang mengadakan kunjungan bersempena program Jejak Asnaf MAINJ.

Menurut wakil program Jejak Asnaf MAINJ, Nasir Ishak, pihaknya tidak datang dengan tangan kosong apabila menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur, tilam, tuala, barangan keperluan makanan serta bantuan segera wang tunai RM500.

“Mengikut sistem kami, ibu tunggal ini tidak pernah menerima bantuan Baitumal MAINJ. Jadi, kami sudah menyerahkan borang permohonan yang akan diproses segera bagi melayakkan mereka menerima bantuan sara hidup yang boleh mencecah kira-kira RM500 sebulan.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan untuk membaik pulih rumah yang didiami mereka ini yang didapati mengalami banyak kerosakan. Kita bawakan pegawai berkaitan untuk membuat penilaian bagi kerja membaik pulih kerosakan di dapur dan bilik air,” katanya.

Katanya, pihak MAINJ bercadang untuk memproses permohonan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR), namun, keluarga itu keberatan untuk meninggalkan rumah yang didiami sejak 21 tahun yang lalu. 

Jelasnya, alasan yang diberikan ialah rumah itu berdekatan dengan sekolah lima anaknya manakala anaknya yang sudah bekerja mudah mendapatkan kemudahan awam untuk ke tempat kerja.

Orang ramai yang bersimpati dan mahu memberikan sebarang sumbangan boleh menghubungi Ronimah di talian 011-6129 2408. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN