HULU TERENGGANU: Ibu kepada seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Petuang, Tasik Kenyir di sini tidak menyangka episod duka kehilangan anak sulungnya dalam tragedi sama berulang selepas 17 tahun.
Zabidah A. Rahman, 60, berkata, memori pahit yang masih segar dalam ingatannya itu berlaku ketika anak sulungnya berusia 21 tahun dan kini nasib sama menimpa anak bongsunya, Amir Azzizol Abu Bakri, 22, yang masih belum ditemukan sejak Sabtu lalu.
Ibu kepada lapan anak itu bagaimanapun reda jika ditakdirkan insan tersayangnya pergi namun dia berharap agar sekurang-kurangnya jasad mangsa dapat ditemukan.
“Naluri saya kuat mengatakan dia masih ada di sekitar sini dan saya akan tetap setia menunggu sehingga dia ditemukan walau dalam apa juga keadaan sekalipun.
“Hati ibu mana yang tidak sedih, namun ini semua janji Allah SWT, dahulu abangnya mati lemas di laut dan kini adiknya pula,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang kelmarin, Amir Azzizol yang baharu melangsungkan perkahwinan pada 21 Mac lalu dikatakan berenang ke sungai berkenaan tanpa memakai jaket keselamatan.
Menurut Zabidah, anak sulungnya mati lemas di kawasan muka kuala di Dungun setelah bot gentian yang dinaiki bersama sembilan rakan lain terbalik dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam sebelum mayatnya ditemukan orang awam enam jam kemudian.
Katanya, kehilangan Amir Azzizol sejak tiga hari lalu cukup dirasakan kerana hubungan mereka yang sangat rapat, malah masih menyuap anak bongsunya makan walaupun sudah dewasa.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu mangsa pada pagi Jumaat lalu ketika anaknya pergi ke Pasar Besar Dungun tempat dia berniaga.
“Ini merupakan kali pertama dia datang ke Tasik Kenyir untuk berbulan madu selain meluangkan masa bersama keluarga mentua selepas mendirikan rumah tangga pada 21 Mac lalu dan barang-barang majlis menyambut menantu belum sempat dikemaskan sepenuhnya lagi,” katanya.