Ibu tekad curah kasih sayang jaga anak kanser mata - Utusan Malaysia

Ibu tekad curah kasih sayang jaga anak kanser mata

TIONG Lam (kiri, duduk) bertanya khabar keadaan Ahmad Saifullah Zamani ketika berkunjung ke rumah remaja berkenaan di Lorong Kubur Alor Pasir, Kampung Repek, Pasir Mas. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang ibu tekad mencurahkan sepenuhnya kasih sayang bagi memastikan anak bongsunya yang sedang ‘berperang’ dengan penyakit kanser mata, kembali sembuh.

Samsiah Abdul Ghani, 49, berkata, seluruh ‘hidupnya’ kini diserahkan kepada Ahmad Saifullah Zamani, 13, yang menghidap penyakit itu sejak berusia enam tahun.

“Selain menjaga makan, minum dan keperluan  harian Ahmad Saifullah. Saya turut memberikan kata-kata semangat supaya dia terus kuat melawan penyakit kanser itu.

“Selain rawatan klinikal, saya turut mendapatkan rawatan tradisional sebagai ikhtiar,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Lorong Kubur Alor Pasir, Kampung Repek di sini hari ini.

Terdahulu, Samsiah menerima kunjungan dari Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KCK) yang diketuai oleh Pengerusinya Pui Tiong Lam pada Ahad.

Samsiah memberitahu, sepanjang lapan tahun melawan penyakit itu, Ahmad Saifullah sudah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 19 kali.

Katanya, bagaimanapun mata Ahmad Saifullah bertambah teruk sejak awal tahun ini apabila ia mulai bengkak.

“Saya bersyukur apabila setiap bulan Ahmad Saifullah mendapat bantuan bulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350.

“Bantuan bulanan itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarga kerana pendapatan suami yang bekerja sebagai buruh tidak menentu,” ujarnya.

Sementara itu, Tiong Lam berkata, pihaknya akan sedaya upaya mencari dana untuk menyediakan bantuan bulanan kepada keluarga berkenaan terutama dalam bentuk makanan.

Katanya, bantuan itu merupakan salah satu bentuk sokongan untuk membantu meringkan beban keluarga berkenaan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank (1623-0264-8754) atas nama Zamani Abdullah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN