Ibu guna parang halang AADK tahan dua anak - Utusan Malaysia

Ibu guna parang halang AADK tahan dua anak

ANTARA individu yang ditahan dalam Op Perdana di Batu Kurau hari ini.- IHSAN AADK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Seorang wanita mengugut dengan sebilah parang penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang cuba menahan dua anak lelakinya di Batu Kurau semalam.

Kejadian berlaku dalam Op Perdana apabila wanita berusia 60-an itu enggan memberi kerjasama hingga terpaksa dipujuk pegawai AADK selama lebih 30 minit.

Tindakan degil wanita itu menyebabkan anaknya masing-masing berusia 18 dan 20 tahun hampir berjaya meloloskan diri.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota AADK berjaya memberkas dua penagih tegar itu ketika mereka cuba melarikan diri melalui bumbung rumah.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, A. Rueben berkata, ketika serbuan dijalankan, pihaknya telah pun bersedia dengan beberapa anggota mengepung rumah berkenaan.

Katanya, ketika ditangkap, dua beradik itu didapati dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Siasatan mendapati dua beradik itu merupakan penagih tegar yang dikehendaki selepas berjaya meloloskan diri dalam beberapa serbuan sebelum ini.

“Ujian saringan air kencing dilakukan dan mendapati mereka positif mengambil dadah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi dua hari di Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) sejak semalam, 36 individu termasuk seorang pengedar dadah ditahan dengan pihaknya merampas 55.29 gram dadah jenis morfin.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 16 hingga 56 tahun.

“Kesemua suspek didapati positif dadah jenis ganja, morfin dan syabu menerusi ujian saringan awal air kencing.

“Mereka yang ditangkap akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998 manakala suspek yang didapati memiliki dadah telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya