Ibu bapa mentua, ipar duai cetus penceraian boleh dipenjara, denda - Utusan Malaysia

Ibu bapa mentua, ipar duai cetus penceraian boleh dipenjara, denda

Noor Aziah Mohd Awal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak ketiga iaitu mana-mana mentua atau ipar-duai yang dipercayai menghasut pasangan suami isteri sehingga mencetuskan keretakan rumah tangga boleh dituduh di Mahkamah Syariah selain berdepan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, perkara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 37 dan Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dengan menetapkan kesalahan kehadiran orang ketiga yang merangkumi kaum keluarga.

Katanya, Seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan iaitu mana-mana orang menghalang pasangan bernikah daripada hidup sebagai suami isteri boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, Seksyen 38 akta sama pula menetapkan kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Ramai tidak bahawa ibu bapa mertua dan ipar duai yang terbabit mencetuskan keretakan rumah tangga boleh didakwa ke Mahkamah Syariah dan selama ini masyarakat mengetahui kehadiran orang ketiga hanya melibatkan bekas teman lelaki atau wanita sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Noor Aziah menegaskan, setiap pasangan berhak untuk memastikan keharmonian rumah tangga mereka terbela agar pihak mencetuskan keretakan hubungan suami isteri mendapat balasan sewajarnya.

Katanya, kedua-dua undang-undang tersebut digubal bertujuan untuk jaminan dan menjaga aspek kerukunan rumah tangga di samping mengelakkan penceraian daripada terus berlaku.

“Di sini kepentingan undang-undang untuk menjaga hubungan rumah tangga agar pihak ketiga termasuk ahli keluarga sendiri tidak sewenang-wenangnya menganggu-gugat keharmonian rumah tangga,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang memaklumkan, setiap pasangan suami isteri yang berhadapan situasi tersebut untuk membuat laporan polis dan segera ke mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri agar siasatan selanjutnya dapat dilakukan.

Katanya, mereka dinasihatkan untuk mengemukakan bukti-bukti sama ada bertulis atau keterangan seperti rakaman audio, video dan kiriman mesej yang mengandungi unsur elemen menghalang pasangan bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

“Misalnya jika ada bukti mesej WhatsApps, sila simpan dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk dijalankan siasatan. Malah perkara ini akan menjadi bukti mahkamah sama ada berlaku elemen kesalahan di bawah Seksyen 37 dan Seksyen 38.

“Pihak Penguatkuasa agama akan jalankan siasatan untuk buka kertas siasatan dan dakwa ke Mahkamah Syariah jika benar aduan yang dibuat.

Mengenai statistik kes tersebut, Musa berkata, perkara itu boleh dirujuk kepada Jabatan Agama Islam yang mempunyai data dan angka mengenai pendakwaan membabitkan kehadiran orang ketiga. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN