Ibu banyak diam, bapa sempat bergurau - Utusan Malaysia

Ibu banyak diam, bapa sempat bergurau

KEADAAN kemalangan yang meragut nyawa pasangan suami isteri dalam kejadian di Kilometer 54 Jalan Kluang - Mersing, Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: “Kalau orang ramai datang boleh melawat ayah sekali.”

Itu gurauan Rosnan Aris, 64, yang diceritakan anaknya, Izuan Rosnan, 40, sebelum bapanya meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 54, Jalan Kluang-Mersing dekat sini petang kelmarin.

Kemalangan itu turut mengorbankan ibunya, Aminah Kodir, 70.

Jelas Izuan, gurauan itu di­ucapkan ketika bapanya menziarahi bapa saudara yang meninggal dunia di kediaman keluarga di Kluang dekat sini.

Dia sendiri tidak menyangka gurauan itu menjadi petanda bapa dan ibunya pergi dijemput Ilahi buat selama-lamanya dalam kemalangan tersebut.

Menurut juruukur bahan itu, sebelum kejadian, mereka sekeluarga berkumpul di rumah bapa saudaranya, Rosli Aris, 58, yang meninggal dunia pada sebelah pagi hari yang sama.

“Kami sekeluarga berkumpul menziarahi bapa saudara yang meninggal dunia, orang datang menziarahi jenazah pakcik dan ayah pula baring dekat ruang tamu. Jadi saya minta ayah beralih sebab tak manis, dia bergurau ‘tak apa nanti orang boleh melawat ayah sekali’.

“Pada saya itu hanya gurauan biasa. Emak pula banyak diam, memerhatikan gelagat anak cucu, apabila saya bertanya kenapa, dia cakap penat.

“Selepas selesai makan te­ngah hari, ayah dan emak ber­gerak pulang ke rumah di Felda Nitar 2 selepas waktu Zuhur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, beberapa jam selepas itu mereka sekeluarga menerima telefon yang memaklumkan kejadian kemalangan itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Jelas Izuan, beberapa saksi kejadian dan pemandu treler memberitahu kemalangan di­sya­ki berpunca apabila bapa­nya yang memandu kereta Proton Waja cuba mengelak haiwan yang melintas laluan tersebut sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan treler membawa muatan pasir.

“Kami sekeluarga menye­rahkan kepada polis untuk mela­kukan siasatan agar punca kemalangan dapat diketahui selain akan memikirkan sama ada mengambil tindakan undang-undang atau sebaliknya,” katanya.

Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Nitar 2 di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, pasangan warga emas itu maut apabila Proton Waja dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler Volvo dalam kejadian di Kilometer 54 Jalan Kluang – Mer-sing di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya