KUALA LUMPUR: Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan mengulas dakwaan Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 diatur.
Usaha mendapatkan maklum balas gagal apabila beliau cuba mengelakkan diri ketika ditanya soalan tersebut.
“I have no comment (saya tidak ada komen),” katanya ringkas.
Annuar yang juga Bekas Setiausaha Agung BN pada kenyataannya semalam menyifatkan ‘politik benci’ sudah mula menjadi batu tanda baru buat parti itu dengan pihak-pihak tertentu ‘mereka-reka cerita untuk menanam benci sesama sendiri’.
Annuar mendakwa PAU 2020 sudah pun ditentukan dari awal termasuk senarai pembahas sehinggalah keputusan yang dicapai Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini.
“Perwakilan dengar saja di bahagian masing-masing. Jurucakap yang dipilih sudah digantikan. Hanya orang yang dilantik presiden (Ahmad Zahid Hamidi) boleh bercakap.
“Usul MT untuk meluluskan ucapan dasar presiden hanya boleh dibahas ahli MT saja. Matlamatnya adalah untuk sokong (dan) semua senada. Bermakna MT lebih tinggi daripada PAU walaupun perlembagaan parti menyatakan sebaliknya,” dakwa Annuar dalam kenyataan tersebut. – UTUSAN