KUALA LUMPUR: Keretakan hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dapat dipulihkan meskipun ada pihak cuba menyelamatkan kedudukan kedua-dua parti itu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan terbaharu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjadi isyarat jelas hubungan keruh berkenaan.
Katanya, untuk itu Pas sepatutnya sudah memahami tiada jalan tengah dapat dicapai untuk UMNO bergerak bersama Bersatu.
“Walaupun Pas berharap pada peringkat awal untuk UMNO dan Bersatu agar diselamatkan hubungannya, tetapi saya ambil kira sebagaimana kenyataan Muhyiddin bahawa akan bertanding di semua kerusi UMNO.
“Itu jelas memberikan isyarat memang UMNO dan Bersatu tak boleh bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas ucapan dasar Presiden UMNO pada Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.
Ahmad Zahid dalam ucapan dasar menegaskan parti itu tetap dengan keputusan Majlis Tertinggi bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu.
Katanya, malah tiada kerjasama dengan PKR dan DAP serta tiada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.
Pas sebelum ini dilihat mahu memulihkan keretakan hubungan UMNO dan Bersatu demi menyelamatkan perpaduan ummah.