Hubungan Pas, UMNO tidak tergugat - Utusan Malaysia

Hubungan Pas, UMNO tidak tergugat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Hubungan Pas dan UMNO diyakini tidak tergugat meskipun Pengerusi Majlis Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menggelar Pas sebagai ‘pelacur politik’ baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau mengakui sedikit kesal dengan kenyataan itu namun ia tidak sepatutnya dijadikan titik tolak yang boleh mengeruhkan hubungan kedua-dua parti.

Malah katanya, Pemuda Pas enggan terbawa-bawa rentak sama dan bertekad untuk menjaga amanah oleh pucuk pimpinan sebaik mungkin iaitu memperkuat dan memperkasakan Muafakat Nasional (MN).

“Hubungan antara Pas dan UMNO akan sentiasa diharmonikan khususnya menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

“Ia perlu dimulakan di peringkat pusat sehinggalah ke peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengiringi Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meninjau keadaan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi yang runtuh bulan lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berharap pucuk pimpinan UMNO mengambil serius perkara itu termasuk memberi nasihat kepada Tengku Razaleigh dan barisan pemimpinnya yang lain supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

“Jika kenyataan sebegini lebih kerap dikeluarkan sebelum PRU-15, dibimbangi akhirnya boleh mengeruhkan hubungan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Dalam wawancara bersama sebuah portal berita, Tengku Razaleigh baru-baru ini dilaporkan melabelkan Pas sebagai pelacur politik kerana sering beralih sokongan dan perlu ditewaskan dalam pilihan raya umum akan datang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya