KLUANG: Sebarang bentuk cacian atau maki hamun termasuk memberikan gelaran tidak sewajarnya terhadap rakan atau musuh politik boleh menjejaskan muafakat ummah.
Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, untuk itu pemimpin politik perlu bersikap matang dan beradab dalam melontarkan sebarang pandangan.
“Apa yang diucapkan sebenarnya menjadi cermin yang menunjukkan sifat sebenar diri mereka. Dalam perkara ini kematangan berpolitik amat perlu dan jika marah sekali pun tidak perlu melabelkan seseorang itu dengan gelaran yang tidak baik atau tidak bermoral.
“Secara peribadi saya amat percaya dan terus akan berpegang teguh bahawa bermuafakat membawa banyak keberkatan dalam kehidupan politik kita hari ini.
“Selama 60 tahun negara ini ditadbir UMNO yang terhasil daripada kepercayaan rakyat. Namun perlu diingatkan bahawa ia datang daripada permuafakatan ahli politik untuk memajukan dan sejahterakan negara,” katanya.
Beliau yang juga Exco Pelancongan, Belia dan Sukan negeri berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin yang saling melabel pemimpin atau parti lain dengan perkataan tak sewajarnya.
Onn Hafiz berkata, sekiranya berterusan tindakan itu boleh mencemarkan imej sesebuah parti.
“Jika dibiarkan ahli politik dalam parti yang sama akan bercakaran sesama sendiri dan tidak akan dapat menjalinkan permuafakatan.
“Kita harus bersatu padu menjalinkan muafakat sekiranya tidak mahu terlepas lagi sebagai pentadbir negara seperti yang sudah berlaku dalam PRU-14.
“Untuk itu, sama-sama berlapang dada dan berjiwa besar untuk mencari formula untuk merapatkan saf berbanding mencari sebab untuk berpecah-belah,” katanya.