Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
[email protected]
SEPANG: Seorang pegawai bomba dan penyelamat tidak kesampaian memenuhi tugas kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran yang berlaku di Pantai Bagan Lalang awal pagi tadi selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Tanjung Mas Batu 2 di sini.
Dalam kejadian pada pukul 6.35 pagi itu, mangsa, Norhaizat Ramli, 37 yang menunggang motosikal jenis Yamaha Skuter VMax bagaimanapun mengalami kecederaan di pinggang dan badan selain patah jari kelingking.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat, Azrul Faizal Maarif berkata, sebelum kejadian berlaku, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Nilai 3 menuju ke Pantai Bagan Lalang.
“Norhaizat merupakan Pegawai Operasi Zon KLIA dan diarahkan untuk membantu saya dalam menyelaras operasi bersama pegawai-pegawai bomba lain berikutan kejadian kebakaran yang berlaku melibatkan lima buah gerai medan selera di Pantai Bagan Lalang awal pagi tadi.
“Bagaimanapun, kira-kira pukul 6.30 pagi, saya yang ketika itu berada di lokasi kebakaran menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.
Azrul berkata, dia bersama dengan dua pegawai bomba lain dan unit EMRS terus bergegas ke lokasi kemalangan yang jaraknya kira-kira lima kilometer (km) dari lokasi kebakaran.
Katanya, berdasarkan makluman, motosikal yang ditunggang Norhaizat gagal dikawal lalu dia terbabas dan terjatuh.
“Norhaizat masih dalam keadaan sedar ketika saya dan anggota bomba lain tiba di lokasi.
“Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE