Hasni jumpa tong biru di tebing Sungai Kim Kim - Utusan Malaysia

Hasni jumpa tong biru di tebing Sungai Kim Kim

HASNI Mohammad (kiri) melihat beberapa tong biru yang ditemukan di tebing sungai ketika menyelusuri denai Sungai Kim Kim sepanjang dua kilometer di Pasir Gudang, Johor. -UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penemuan beberapa tong biru yang dibuang berhampiran Sungai Kim Kim sempena program gotong-royong sayangi sungai terbabit hari ini menimbulkan persoalan terhadap sejauh mana sungai tersebut bebas kepada sebarang bentuk pencemaran ketika ini.

Malah, tong tersebut ditemukan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalam program itu ketika beliau menyelusuri denai sungai sepanjang dua kilometer itu.

“Sungai Kim Kim dilihat agak terpencil, maka, aktiviti yang tidak sewajarnya telah berlaku di sepanjang sungai ini.

“Saya dapat lihat dengan mata kepala saya sendiri bahawa terdapat pembuangan yang tentunya menjejaskan kualiti air Sungai Kim Kim.

“Pembuangan ini bukan hanya melibatkan bahan-bahan solid tetapi air yang mengalir masuk ke sungai itu juga datang daripada pelbagai sumber yang turut menyumbang kepada pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program gotong-royong Sayangi Sungai Kim Kim bersempena sambutan Hari Air Sedunia, di Pasir Gudang hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, aktiviti pencemaran itu menyebabkan pihak kerajaan perlu membentuk satu Jawatankuasa Bertindak sebagai satu kaedah kawalan.

Jelasnya, usaha kerajaan Pusat menerusi Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) itu adalah sebagai langkah untuk menjadikan kawasan sepanjang Sungai Kim Kim ini sebagai kawasan terjaga dan terkawal.

Katanya, menerusi program tersebut, kawasan rizab sungai terancam di negeri ini yang akan dibangunkan menjadi lokasi riadah dan tumpuan masyarakat setempat.

“Bukan Sungai Kim Kim sahaja yang tercemar teruk di negeri ini malah ada juga beberapa sungai lain. Cumanya, ia tidak menimbulkan keadaan yang menjejaskan masyarakat setempat.

“Dalam program DSK, ia akan diadakan di semua daerah bermula dengan Sungai Kim Kim. Ini adalah untuk melibatkan masyarakat turut sama bertanggungjawab menjaga kecantikan dan kebersihan supaya air sungai dapat menyumbang kepada alam sekitar,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN