LENGGONG: Kehadiran seekor harimau dahan di Taman Kota, Kampung Lahar dekat sini pada awal pagi membimbangkan penduduk kawasan sekitarnya.
Haiwan itu dilihat berkeliaran di hadapan rumah penduduk sekitar pukul 2 pagi ini dan sempat dirakam seorang pemilik rumah.
Menerusi rakaman yang tular dalam media sosial, haiwan itu menghidu sesuatu dan dipercayai sedang kelaparan mencari makanan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, tindakan segera telah diambil bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.
Katanya, perangkap telah pun dipasang di kawasan tersebut bagi memerangkap haiwan berkenaan.
“Pegawai Perhilitan akan memasang perangkap, jadi orang ramai diminta tidak mengambil tindakan sendiri dengan menangkap harimau itu atau melakukan apa-apa tindakan lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan haiwan liar itu muncul di kawasan kediaman manusia.
“Mungkin haiwan itu tersesat ketika mencari makan, kehilangan pasangan atau terdapat gangguan di habitat asalnya,” katanya.-UTUSAN ONLINE