Harga air mentah ikut gred di negeri-negeri - Utusan Malaysia

Harga air mentah ikut gred di negeri-negeri

TUAN Ibrahim (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses membangunkan program Gred Air Nasional bagi menetapkan harga air mentah mengikut gred kualiti sumber bekalan tersebut di seluruh negara.

Perkembangan tersebut sekali gus membolehkan kerajaan negeri yang memiliki sumber bekalan air mentah pada gred tinggi dapat menjualnya ke negeri lain dengan harga lebih mahal yang secara tidak langsung bakal membawa pulangan kepada kerajaan negeri masing-masing selepas ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, proses penggredan tersebut akan dilakukan bagi menentukan tahap kualiti sumber air mentah di negeri-negeri terlibat.

“Sebagai contoh, air mentah yang bersih dan berkualiti boleh dijual pada harga lebih mahal manakala air yang teruk (kualiti rendah) atau dalam kategori dua pada harga lebih rendah.

“Apabila air mentah itu bersih, kos bagi proses rawatan bagi mendapatkan air terawat adalah lebih rendah dan sebaliknya, jika air itu dalam kategori tiga, kos rawatan pula akan lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd.  Yusof.

Dalam majlis tersebut, Tuan Ibrahim turut memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan menerusi perjanjian tersebut bersetuju melaksanakan hapus kira pinjaman bekalan air luar bandar berjumlah RM185.41 juta oleh kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, program Gred Air Nasional itu juga bakal memberi manfaat kepada negeri-negeri yang berkorban menjaga hutan simpan bagi memastikan sumber air mentah dalam keadaan bersih.

“Bagi kerajaan negeri yang mempunyai sumber bekalan air mentah yang bersih krana usaha menjaga alam sekitar, mereka akan mendapat hasil lebih daripada jualan air ke negeri lain,” katanya. 

Katanya lagi, perbincangan lanjut masih dijalankan termasuk pelaksanaan program tersebut dan kadar harga mengikut gred kualiti air. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN