PUTRAJAYA: Penganjuran bazar Ramadan dan Bazaria Aidilfitri di sekitar ibu kota, Kuala Lumpur dijangkakan boleh beroperasi pada tahun ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk cadangan SOP kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan untuk dibentangkan dan dimuktamadkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kata beliau, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat persiapan ke arah itu seperti menentukan lokasi dan mengenal pasti peniaga yang terlibat termasuk melakukan pengubahsuaian gerai bagi memastikan ada penjarakan antara gerai.
“Secara umumnya MKN sudah mula beri kebenaran dan melonggarkan sektor tertentu bagi membolehkan aktiviti ekonomi berjalan.
“Secara prinsipnya kita sedang membuat persiapan untuk membenarkan bazar Ramadan dan Bazaria Aidlfitri, cuma tunggu kelulusan muktamad dari MKN terutama SOP yang dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya, di sini hari ini.
Annuar turut memberitahu, pihak DBKL juga sedang menilai lokasi sama ada mengekalkan tapak asal di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau mencari lokasi bersesuaian.
Namun, katanya, pihaknya akan memastikan ruang niaga lebih baik untuk menjana pendapatan lebih baik kepada para peniaga.
“Kita tengok satu atau dua hari lagi ada dua pandangan tentang tapak lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman tetapi tempat itu telah dinaik taraf dengan adanya penanaman pokok. Jadi kalau pindah situ takut rosak. Kita sedang kaji perkara ini.
“Bagaimanapun kita mahu supaya peniaga dapat menjana pendapatan lebih baik. Kadang-kadang tempat elok belum tentu maju berniaga, tempat tidak elok pula maju berniaga,” katanya. -UTUSAN ONLINE