Hanya sisa kumbahan, bukan pencemaran sisa toksik di sungai - Utusan Malaysia

Hanya sisa kumbahan, bukan pencemaran sisa toksik di sungai

TUAN Ibrahim Tuan Man (kanan) melihat bacaan sampel air Sungai Kim Kim daripada Famey Yusoff di Pasir Gudang, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Kementerian Alam Sekitar dan Air menafikan dakwaan terdapat pencemaran sisa toksik baharu di Sungai Kim Kim di sini seperti dilaporkan sebuah akhbar, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemeriksaan dibuat pihaknya mendapati tompokan hitam yang dikesan hanyalah sisa kumbahan daripada kilang berhampiran.

Menurut beliau, sisa kumbahan itu juga didapati tidak berbahaya kepada penduduk setempat.

“Sebenarnya yang berlaku itu bukanlah pencemaran sisa toksik. Jadi laporan yang dibuat itu sebenarnya tidak begitu tepat.

“Daripada sampel yang sudah diambil, didapati sebenarnya ia hanya pencemaran (pelepasan) biasa daripada kilang dan tidak berbahaya kepada penduduk, tidak sebagaimana pencemaran yang berlaku pada 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja bersama Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Famey Yusoff di Sungai Kim Kim di sini hari ini.

Semalam, dilaporkan terdapat pencemaran sisa toksik baharu di Sungai Kim Kim dan mengesyaki ia melibatkan pelepasan sisa kimia yang lebih besar berbanding insiden lalu.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa memantau situasi sungai berkenaan sejak insiden pencemaran Sungai Kim Kim.

“Sekiranya benar dakwaan pencemaran itu telah berlaku dalam tempoh sebulan, sudah pasti JAS dapat mengetahuinya kerana pemantauan dibuat secara berterusan.

“Sungai Kim Kim ini menjadi lokasi pemantauan utama di peringkat JAS Johor. Jadi kalau berlaku sebulan, saya fikir kami tahu,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, kementeriannya fokus untuk bersama dengan komuniti dalam mengerakkan usaha pengawalan pencemaran sungai tersebut melalui projek Denai Sungai Kim Kim.

“Projek yang melibatkan pelbagai pihak seperti universiti, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan itu diharap dapat menceriakan semula Sungai Kim Kim yang telah tercemar sebelum ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya