Hanya pembantu rumah terkandas boleh kembali ke Malaysia - Utusan Malaysia

Hanya pembantu rumah terkandas boleh kembali ke Malaysia

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berita baik buat lebih 10,000 majikan kepada pembantu rumah apabila kerajaan bersetuju membenarkan mereka yang terkandas di negara asal untuk kembali datang bekerja di Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu bagaimanapun tertakluk kepada pekerja yang masih ada visa dengan syarat memohon melalui My Travel Pass.

“Setelah dapat kebenaran, pekerja ini perlu jalani ujian saringan sebelum berlepas dan kuarantin wajib mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Awal Ogos tahun lalu, Persatuan Pengamal Perubatan Kesihatan Awam Malaysia meminta pihak kerajaan dapat memberi kelonggaran bagi kemasukan ratusan ribu pembantu rumah asing.

Dianggarkan hampir 400,000 permohonan secara atas talian diserahkan kepada Jabatan Imigresen sepanjang tahun lepas oleh pekerja terbabit yang gagal memasuki balik Malaysia.

Ia susulan banyak negara Asia terutama Hong Kong, Taiwan dan Singapura telah pun mula membenarkan pembantu rumah warga asing masuk tetapi dengan syarat yang agak ketat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kos kuarantin pembantu rumah itu sama ada di hotel atau institusi latihan awam yang diperakui kerajaan perlu ditanggung oleh majikan masing-masing.

“Bagaimanapun, kemasukan semula ke Malaysia tertakluk kepada pembukaan semula pintu sempadan negara atau mendapat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Justeru ujarnya, sementara menunggu sempadan dibuka balik, kerajaan bersetuju untuk membenarkan agensi pembantu rumah asing memproses permohonan pengambilan pekerja mulai sekarang termasuk bagi permohonan baharu.

Ia jelas beliau, atas rayuan Persatuan Majikan Amah Malaysia pada minggu lalu kerana urusan pemprosesan tersebut dijangka sukar dan mengambil tempoh antara tiga hingga empat bulan.

Sehubungan itu, agensi terbabit sudah dibolehkan untuk membuat pemprosesan supaya apabila kerajaan membuka sempadan, pembantu rumah terbabit sudah dapat dibawa masuk segera.

“Katakanlah kerajaan mula buka pintu masuk sempadan negara pada Ogos nanti, agensi itu boleh bawa masuk bulan itu juga dan bukan baru hendak proses yang makan masa lama,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya