Hanya makan 'apa yang ada' di hutan - Utusan Malaysia

Hanya makan ‘apa yang ada’ di hutan

MURIM Stapo (berdiri kiri) sebagai 'porter' dan rakan pemandu pelancong, Afzal Abdul Aziz (dua dari kiri) bersama pelancong dari negara Romania ketika mendaki Gunung Tahan dua tahun lalu di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sedih dan meruntun hati apabila mendengar pengakuan belia Orang Asli etnik Bateq di penempatan pesisir Sungai Tembeling, Kuala Tahan di sini apabila berdepan kesusahan hidup kesan penularan Covid-19 yang melanda negara ini sejak tahun lalu.

Belia Orang Asli berkenaan kebanyakan bekerja dalam sektor ekopelancongan di Kuala Tahan sebagai pemandu alam sekitar, pemandu bot penambang dan ‘porter’ atau pembawa barang.

Walaupun mendominasi kepercayaan perkara halimunan kuasa persekitaran dan alam, tetapi mereka tidak menolak musibah pandemik Covid-19 berskala global itu merupakan ujian Tuhan kepada penduduk dunia termasuk masyarakat minoriti Orang Asli Bateq.

Kehilangan pekerjaan, tanpa wang dan hanya makan ‘apa yang ada’ berasaskan ‘survival’ di hutan seperti ubi kayu, umbut bayas, ikan Sungai Tembeling dan tumbuhan sebagai pengganti nasi sudah menjadi ‘alah bisa tegal biasa’ sepanjang lebih setahun tempoh wabak halimunan tersebut melanda serta ditambah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang porter Orang Asli Bateq Kampung Teresek, Murim Stapo, 27, berkata, hakikat yang ditanggung oleh belia kaum itu bukan rekaan tetapi memang benar mereka hidup miskin dan susah sejak ancaman wabak tersebut.

“Sejak tahun lalu, saya hilang pekerjaan dan tanpa pendapatan langsung kerana tidak ada pelancong luar (Barat) yang berkunjung ke Taman Negara.

“Saya amat sedih dan kadang-kadang menitis air mata apabila melihat keempat orang anak berusia antara lapan hingga satu tahun makan ubi kayu dan apa-apa bahan (makanan) yang boleh dijamah berasaskan surivival budaya kami,” katanya di Kuala Tahan di sini semalam.

Menurut Murim, sebelum ini dengan wang pendapatan mingguan sebagai tugas porter diperoleh antara RM50 hingga RM100 bukanlah mewah sangat, tetapi cukup untuk membeli beras dan barang keperluan dapur lain sebagai keperluan keluarga.

“Lantaran amat payah untuk melakukan pekerjaan di Kuala Tahan kerana ketiadaan pelancong, saya membawa isteri dan anak berpindah tinggal di pinggir hutan berdekatan Kampung Pagi, Hulu Tembeling.

“Saya bersama rakan Orang Asli Bateq masuk ke hutan selama dua minggu untuk mencari kayu gaharu, umbut bayas, siput sedut dan sumber lain untuk dijual kepada penduduk Kuala Tahan dan bandar Jerantut bagi memperoleh wang.

“Adat kami (Orang Asli Bateq) berkahwin pada usia muda yang mempunyai ramai anak perlu cekal dan tabah mencari rezeki di hutan untuk sesuap makan anak-anak malah tidak malu walaupun tanggapan orang luar yang kami masih berpindah-randah,” katanya.

Katanya, hal yang sama juga dialami keluarga Orang Asli Bateq yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling, Sungai Keniam dan Sungai Tahan juga ada yang berpindah masuk ke hutan banat Taman Negara dan tinggal berbulan-bulan untuk mencari makanan.

Dalam pada itu, Murim yang tidak boleh menulis dan membaca tetapi mampu berkomunikasi dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan sedikit penguasaan bahasa Inggeris juga berterima kasih dengan sumbangan barangan keperluan dapur daripada kerajaan, wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Barang dapur ini hanya mampu bertahan selama seminggu kemudiannya kami keputusan bekalan makanan semula. Mahu tidak mahu, kami (Orang Asli Bateq) memilih berpindah ke mana-mana tempat yang boleh hidup untuk mengisi perut keluarga,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN