PASIR GUDANG: Tiada sebarang perbincangan mengenai isu-isu politik antara Pas dan Barisan Nasional (BN) Johor dalam pertemuan di Johor Bahru hari ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, pertemuannya dengan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad hanya sekadar kunjungan hormat beliau sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.
Menurut beliau, perjumpaan itu tidak membincangkan sebarang isu-isu politik termasuk mengenai pengagihan kerusi bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
“Pertemuan itu merupakan kunjungan hormat saya dan pihak kementerian sempena lawatan rasmi ke Johor.
“Tidak bincang pun tentang kerusi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Sungai Kim Kim di sini.
Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memuat naik gambar di laman Facebook miliknya berhubung pertemuan itu sehingga menimbulkan pertanyaan pelbagai pihak berhubung keadaan politik semasa tanah air.
Tuan Ibrahim berkata, antara yang dibincangkan ketika pertemuan itu adalah perkara di peringkat kementerian seperti pengurusan sistem kumbahan dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Pasir Gudang.
“Juga dibincangkan isu-isu yang melibatkan peringatan kepada pembakaran terbuka sebab sekarang ini musim panas dan oleh kerana Johor ini ada kawasan tanah gambut yang sensitif kepada pembakaran terbuka.
“Jadi kita berharap semua pihak dapat mengambil tindakan segera supaya tidak ada pembakaran terbuka dibuat pada waktu ini,” jelasnya.