Hanya dua ADUN tentukan nasib Hasni, UMNO - Bersatu Johor - Utusan Malaysia

Hanya dua ADUN tentukan nasib Hasni, UMNO – Bersatu Johor

MD. Nasir Hashim(duduk, tengah) bersama Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal (kanan) dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Bersatu Negeri Johor, Datuk Ariss Samsuddin ketika sidang akhbar Badan Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Pagoh, Muar, Johor. UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mengingatkan Datuk Ir. Hasni Mohammad bahawa beliau boleh tumbang pada bila-bila masa berikutan memiliki sokongan rapuh sebagai Menteri Besar.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Ir. Md. Nasir Hashim berkata, hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti yang membentuk kerajaan negeri termasuk wakil rakyat Bersatu boleh menentukan nasib Hasni dan UMNO di negeri itu ketika ini.

Ini berikutan kenyataan Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor pada Persidangan Agung UMNO baru-baru ini berkaitan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ahli Parlimen Pagoh adalah lemah di kawasan sendiri.

Menurut Nasir, sebagai menteri besar, Hasni sepatutnya menumpukan usaha meningkatkan ekonomi dan membangunkan negeri serta bekerjasama baik dengan pasukan pelbagai parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Jika sikap angkuh dan sombong beliau berterusan, hubungan baik antara parti yang membentuk kerajaan negeri akan tercalar dan ini memberi tanggapan negatif rakyat terhadap kestabilan dan kewibawaan kerajaan Johor.

“Sebagai seorang menteri besar, beliau sepatutnya lebih berhemah dengan menghormati Bersatu sebagai parti yang mendokong kerajaan negeri dan kedudukan beliau sendiri sebagai menteri besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh di sini, hari ini.

Ahad lalu, Hasni ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO berkata, Muhyiddin lemah di kawasannya dan berdasarkan kajian UMNO Johor mendapati orang Melayu di negeri itu yang menyokong PN hanya 26 peratus.

Sementara itu, Nasir berkata, Bersatu Johor amat kecewa dengan kenyataan Hasni yang jelas memperlekeh kedudukan dan sumbangan Bersatu dalam permuafakatan kerajaan negeri.

Beliau berkata, sehingga kini, Bersatu juga masih lagi merupakan parti yang membentuk kerajaan negeri dan membolehkan kerajaan Johor berfungsi dengan baik.

“Kami mewakili Bersatu dan rakyat negeri Johor sudah terlalu muak dan merasa sedih dengan kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO di dalam dan luar kerajaan hari ini.

“Hasni juga mesti memberi tumpuan kepada agenda memerangi Covid-19 berbanding berpolitik sempit dan cuba menjadi hero dalam UMNO,” katanya.

Setakat ini, terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu) sementara Parti Amanah Negara (sembilan) dan PKR pula (empat).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya