Hanya 9 pekerja asing disaring positif Covid-19  - Utusan Malaysia

Hanya 9 pekerja asing disaring positif Covid-19 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja warga asing disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 di seluruh negara semalam mencatatkan rekod penurunan yang paling mendadak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mendapati hanya sembilan individu disahkan sebagai positif wabak itu semalam.

Ia sekali gus angka kedua terendah dalam sejarah selepas pernah melaporkan cuma dua kes pada 12 Februari lalu sejak program itu diwartakan kerajaan pada 1 Disember tahun lepas.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 8,160 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” kata beliau dalam sidang akhbar hari ini.

Secara kumulatif ujarnya, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 567,779 individu telah selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 29,700 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, hanya 9,070 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 558,709 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,507 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini meliputi seluruh negara berbanding hanya empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan juga dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos bagi kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut membuat pemeriksaan 40 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.

“Kesemuanya mematuhi peraturan dan sejak 20 April lalu, sejumlah 9,017 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN