PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam turun lagi untuk hari keempat berturut-turut.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 52 individu ditahan semalam berbanding 58 individu dicekup kelmarin dan 125 individu diberkas Selasa lalu.
“Daripada jumlah itu, 36 dikompaun manakala 16 direman dengan dua jenis kesalahan pula berkongsi kedudukan teratas masing-masing ada 12 kes,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Kesalahan itu ialah rentas kawasan tanpa izin dan tiada jarak fizikal, diikuti gagal memakai pelitup muka dan premis dibuka lebih masa yang masing-masing juga 11 dan lain-lain (enam).
Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 69,500 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,799 pasukan di seluruh negara.
Ismail Sabri menambah, seramai 16,304 anggota itu memantau sebanyak 6,137 restoran, 4,595 pasar raya, 4,055 penjaja, 2,782 bank, 2,397 kilang selain 1,001 buah pejabat kerajaan.
Turut dipantau ialah 18,976 tempat riadah, 209 rumah ibadah selain 3,340 terminal pengangkutan darat, 1,772 terminal pengangkutan air dan 1,175 terminal pengangkutan udara.
Seramai 26 pendatang asing tanpa izin ditahan dan tujuh lagi diusir semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung kes Covid-19.
“Sepuluh kenderaan darat dirampas selain 115 bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.
Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 262 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 51 dilaksanakan polis.
Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 88 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam yang meliputi 26 zon merah, 11 zon jingga, 14 zon kuning dan cuma satu zon hijau.
Ia ujar beliau, melibatkan 462 anggota bomba, 214 anggota pihak berkuasa tempatan serta 19 dari pelbagai agensi lain dibantu dengan penggunaan sebanyak 100 buah jentera bomba.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 800 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 6,584 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 78 hotel serta 12 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.
Seramai 1,089 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 140,950 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 583 peruncit, 157 pemborong dan 32 pengilang.
Penguat kuasa kementerian tersebut kata Ismail Sabri, juga melakukan sejumlah 2,049 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terbabit mematuhi SOP.-UTUSAN ONLINE
TAMAT