KUALA LUMPUR: Parti Komponen Barisan Nasional (BN) yakin dengan hala tuju UMNO bertanding solo menggunakan lambang dacing pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Menurut Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran Sanasee, beliau menyifatkan ia sebagai suatu keputusan tepat selaras dengan hasrat BN selama ini.
“Dan kita akan bertanding di atas tiket BN namun kerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 perlu dibincang nanti,” katanya ketika ditemui media selepas ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr.
Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, di sini hari ini.
Tambah beliau, buat masa ini Pas perlu membuat keputusan kerana UMNO sudah putuskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
“PAS masih bersama kerajaan PN jadi mereka perlu buat keputusan sendiri sama ada mahu kekal atau tidak,” katanya.
Sementera itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan tersebut bukan perkara mudah bagi memperoleh kemenangan majoriti untuk BN, namun persediaan lebih rapi harus dilakukan dengan lebih awal.
“Kita kena melakukan persediaan yang paling baik dan ia bukan mudah, tapi kita perlu mengatasi segala rintangan yang berdepan dengan kita.
“Apa juga keputusan pastinya sudah ada perbincangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE