Haji, umrah kerajaan bincang SOP dengan Arab Saudi - Utusan Malaysia

Haji, umrah kerajaan bincang SOP dengan Arab Saudi

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri menandatangani plak Pelancaran Dana Wajar Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di Institut al-Quran Darul Aman (Iqdar) di Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan Arab Saudi berhubung syarat khusus penyelenggaraan termasuk prosedur operasi standard (SOP) bagi jemaah menunaikan haji serta umrah di Mekah tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau sendiri akan mengadakan kunjungan hormat dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu pada bulan depan.

“Insya-Allah, saya sendiri akan pergi ke sana dalam seminggu, dua lagi untuk melihat. SOP juga sebahagian daripada matlamat kami untuk lihat sama ada di sebelah kita Malaysia, dan Arab Saudi.

“Insya-Allah, ulasan panjang lebar kami beri selepas daripada ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Dana Wajar Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar) di sini, hari ini.

Menyentuh tentang syarat vaksin Covid-19 bagi setiap jemaah, kata beliau, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menetapkan SOP terbaik dan khusus bagi jemaah Malaysia yang akan menunaikan umrah atau haji kelak.

“Kolaborasi akan dibuat antara kita dengan Mosti (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan juga dengan Kementerian Kesihatan secara percakapan mulut mereka akan beri kerjasama baik.

“Apabila kita dapat keputusan, begitu juga syarat ditetapkan Kerajaan Arab Saudi, khususnya berkenaan dengan haji, maka, kita akan cuba ikut semaksimum mungkin untuk jemaah kita,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan tiada permit umrah dan haji akan dikeluarkan kepada jemaah tempatan berusia 70 tahun dan ke atas tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Kementerian Kesihatan sebelum itu menasihati mereka yang berhasrat menunaikan ibadah haji dan umrah untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Sebelum ini beredar berita kerajaan Arab Saudi akan membenarkan penerbangan antara bangsa bermula esok, namun, ia kemudian ditangguh ekoran pandemik yang masih belum reda di seluruh dunia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN