Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
RAUB: Seorang guru sekolah memandu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini atas tiga pertuduhan mencabul dua remaja bawah umur pada 7 Mac dan 14 Mac lalu.
Tertuduh, Lim Yoke Pin, 70, kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Untuk pertuduhan pertama, pada 7 Mac lalu kira-kira pukul 9 pagi, di jalan raya sekitar Chamang, Bentong, tertuduh didapati dengan niat seksual memegang bahu remaja berusia 17 tahun 11 bulan.
Bagi pertuduhan kedua, pada 14 Mac lalu kira-kira pukul 9 pagi di jalan raya sekitar Chamang, Bentong, tertuduh sekali lagi telah didapati dengan niat seksual memegang bahu remaja sama.
Untuk pertuduhan ketiga, pada 14 Mac lalu kira-kira pukul 3 petang di Jalan Taman Desa Damai, tertuduh yang mempunyai amanah terhadap seorang remaja berusia 17 tahun 10 bulan telah melakukan amang seksual fizikal dengan memegang bahu, payudara dan kemaluan mangsa.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) di bawah akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta tambahan penjara maksimum lima tahun dan maksimum dua sebatan bagi Seksyen 16(1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Samira Khalili.
Peguam tertuduh, Emily Chong memohon ikat jamin keseluruhan sebanyak RM8,000 dan seorang penjamin memandangkan Yoke Pin tiada sumber pendapatan selepas berhenti kerja selain memiliki masalah kesihatan iaitu kegagalan buah pinggang.
Sementara itu, Samira memohon ikat jamin sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin dengan mengambil kira kepentingan orang awam selain sebagai jaminan dan peringatan kepada masyarakat.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Ahmad Faizadh mengenakan ikat jamin keseluruhan RM12,000 dan dua penjamin.
Hakim juga menetapkan tarikh sebutan hukum serta pembentangan fakta kes pada 24 Mei depan.- UTUSAN ONLINE