Guru derita kanser payu dara buntu fikir masa depan lima anak - Utusan Malaysia

Guru derita kanser payu dara buntu fikir masa depan lima anak

NORHAYATI Mohamed Noor (kanan) yang menderita kanser payu dara tahap tiga menerima lawatan daripada Mohd. Fadel Alwi (kiri) dan Faridah Jemali di kediamannya di Kampung Chokro Simpang Renggam, Kluang di Johor. - UTUSAN/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang guru yang menderita kanser payu dara tahap tiga dan terpaksa bercuti panjang kini buntu memikirkan masa depan lima anak-anaknya.

Norhayati Mohamed Noor, 46, berkata, dia mempunyai lima anak berusia dari 7 hingga 25 tahun dengan empat daripadanya masih bersekolah menengah serta tadika.

Dia yang berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Pusat GiatMara Simpang Renggam, di sini mula diserang kanser berkenaan pada awal tahun lalu.

“Pada mulanya, terdapat ketulan sebesar penumbuk di bawah ketiak kanan dan waktu itu memang tak rasa sakit.

“Tetapi selepas membuat pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan saya terkena kanser payu dara dan akhir tahun lalu, payu dara kanan semakin membesar dan keras seperti batu.

“Saya banyak berbaring kerana badan terasa lemah selain tapak kaki kanan terasa sakit seperti dicucuk jika berdiri, manakala kepala saya terpaksa dibotakkan kerana saya takut melihat rambut banyak gugur,” katanya.

Norhayati ditemui ketika lawatan oleh Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Negeri Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi dan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Simpang Renggam, Faridah Jemali di Kampung Chokro, Simpang Renggam, di sini hari ini.

Katanya, dia juga buntu apabila suaminya, Samain Sarian, 57, yang bekerja sebagai jurujual kereta tidak memperoleh pendapatan yang baik disebabkan Covid-19.

Suaminya kini bekerja di Johor Bahru dan sesekali pulang ke kediaman mereka yang disewa RM380 sebulan sejak tiga tahun lalu.

“Saya memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM1,000 sebulan dan bersyukur kerana masih memperoleh gaji dalam tempoh cuti sakit.

“Jualan kereta suami pula tak laku kerana Covid-19 dan anak sulung membantu mencari nafkah dengan meniaga makanan di pasar malam, namun pendapatannya juga tidak seberapa.

“Kami terpaksa berjimat cermat namun mujur banyak bantuan makanan diterima, dapatlah kami menjimatkan duit,” katanya.

Mereka yang ingin memberikan bantuan boleh menyalurkannya terus ke akaun Bank RHB Norhayati 15131100078939 atau menghubungi talian 017-744 4464.

Dalam pada itu, Mohd. Fadel berkata, pihaknya yang bersimpati dengan nasib Norhayati sekeluarga akan berhubung dengan jabatan atau agensi kerajaan berkaitan bagi permohonan bantuan dengan secepat mungkin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN