KEMAMAN: Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengaitkan isu murtad dengan lompat parti jelas menunjukkan sikap pemimpin parti itu celupar dan tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, rakyat terutama yang beragama Islam seharusnya sedar dan berhenti menyokong parti itu.
“Guan Eng celupar dan tidak peduli sensitiviti agama lain, apatah lagi Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan.
“Kalau dia boleh menyamakan hijrah parti atau lompat parti dengan murtad dalam Islam, tidak mustahil banyak lagi benda yang boleh dia buat secara halus yang kita tidak nampak,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Ketengah Ambik Cakne: Majlis Penyampaian Sumbangan Back to School di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Gajah di sini semalam.
Isnin lalu, Guan Eng mempersoalkan kewajaran lompat parti dalam politik sedangkan Islam tidak membenarkan murtad.
Guan Eng membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang tindakan lompat parti tidak boleh dihalang kerana perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu tidak pelik jika Guan Eng membuat permohonan maaf kerana ia merupakan amalan tradisi pemimpin tersebut.
“Saya menjangkakan DAP akan minta maaf dalam sehari dua lagi kerana itu memang strategi parti berkenaan.
“Bagi saya mana-mana orang Islam yang berniat menyokong perjuangan DAP, berhentilah segera sebab sudah ada contoh yang jelas dan banyak lagi contoh lain akan terbukti satu persatu,” katanya. -UTUSAN ONLINE