PUTRAJAYA: Penerima sedia ada Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 dan 2.0 tidak perlu membuat permohonan semula bagi memohon GKP 3.0.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, mereka boleh memohon GKP 3.0 menerusi portal GKP, https://gkp.hasil.gov.my/.
Beliau berkata, permohonan itu akan dibuka secara dalam talian mulai 1 hingga 15 April ini iaitu selama 15 hari.
“Bagi PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP sebelum ini juga masih berpeluang mengemukakan permohonan semakan semula.
“PKS mikro yang layak untuk GKP 3.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat 28 Februari lalu,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Katanya, GKP 3.0 akan memanfaatkan hampir 1.2 juta PKS mikro dengan peruntukan RM1.2 bilion di mana PKS mikro yang layak akan menerima bantuan one-off GKP 3.0 sebanyak RM1,000.
Tengku Zafrul berkata, selepas pangkalan data GKP dikemas kini, pembayaran GKP 3.0 akan mula dibuat pada Jun depan.
Menurutnya, GKP 3.0 diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bertujuan menyokong sektor perniagaan khususnya PKS mikro tempatan.
“Ia bertujuan meringankan beban kewangan PKS mikro agar mereka mampu menggiatkan semula perniagaan di dalam tempoh yang masih mencabar ini,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai GKP boleh dirujuk menerusi soalan lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi GKP.
Secara keseluruhan, jumlah bantuan kewangan bagi tiga siri GKP berkenaan adalah berjumlah RM4.78 bilion.