IPOH: Gesaan supaya pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet Perikatan Nasional (PN) menarik diri daripada kerajaan adalah pandangan peribadi, bukannya keputusan rasmi parti.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan namun sebarang tindakan perlu berasaskan kepada keputusan parti.
“Sesiapa juga yang bercakap, kita rujuk balik kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 semalam, itu keputusan rasmi parti.
“Sesiapa juga boleh bagi pandangan namun apa juga tindakan seterusnya haruslah berasaskan kepada keputusan perhimpunan semalam sebab itu keputusan rasmi parti. Kalau nak layan kehendak semua orang, tak terlayan lagi dah.
“Nasihat saya kepada semua ahli UMNO, apa sahaja nak buat, rujuk kepada keputusan perhimpunan semalam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Roadmap Pembangunan Perak Sejahtera 2030, di sini hari ini.
Saarani ditanya mengenai gesaan agar pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet PN menarik diri daripada kerajaan.
Gesaan itu dibuat oleh Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah semalam yang menyifatkan tindakan tersebut adalah perlu sebagai bukti kesetiaan kepada UMNO yang didakwanya ‘ditindas’ oleh parti dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengenai pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dengan Pas, Saarani yang juga Menteri Besar berkata, perkara itu belum dirundingkan.
Menurutnya, namun UMNO mengambil semangat piagam Muafakat Nasional (MN) iaitu UMNO tidak akan bertanding di kerusi yang dimenangi Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan UMNO menyokong calon Pas.
Katanya, sebagai contoh di Perak, Pas mempunyai tiga DUN iaitu Selama, Kubu Gajah dan Semanggol dan mengambil kira semangat MN, UMNO tidak bertanding tiga kerusi berkenaan.
“Namun di 27 kawasan (DUN) lagi yang UMNO menang, Pas tak boleh bertandinglah. Biar UMNO bertanding di situ sebab itu semangat piagam MN.
“Namun setakat ini tiada lagi apa-apa keputusan agihan kerusi antara UMNO dan Pas. Mereka tengah runding lagi, dah ada formula nanti baru kita bincang,” katanya. – UTUSAN ONLINE