SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan geran berjumlah RM2 juta menerusi Belanjawan 2021 dalam inisiatif pemuliharaan rumah dan bangunan warisan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, menerusi peruntukan itu pemohon yang layak akan menerima geran RM100,000 bagi membaik pulih dan memulihara rumah mereka untuk dijadikan
Rumah Warisan Negeri.
Jelas beliau, langkah tersebut diambil kerajaan negeri hasil kajian yang dijalankan pasukan penyelidik Politeknik Port Dickson bahawa terdapat lebih kurang 135 rumah tradisional dan 25 masjid lama yang terbiar dan akan musnah sekiranya tidak dipelihara.
“Bangunan dan rumah warisan ini mempunyai nilainya yang tersendiri dan berupaya menjadi satu lagi produk pelancongan yang unik di Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu Penasihat Pusat Teknologi Seni Bina, Politeknik Port Dickson, Dr. Isham Shah Hassan berkata, langkah kerajaan negeri menerusi inisiatif tersebut dilihat sangat positif dalam usaha memulihara khazanah yang dianggapnya sangat bernilai di negeri ini.