Gerai colek buah Mansyur kembali meriah - Utusan Malaysia

Gerai colek buah Mansyur kembali meriah

MANSYUR Hamad menjual colek buah di hadapan bangunan Wisma Persekutuan Jalan Bayam, Kota Bharu.-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Membuat colek (rojak) buah dan menjualnya di hadapan bangunan Wisma Persekutuan di Jalan Bayam, di sini merupakan satu-satunya punca pendapatan Mansyur Hamad sejak lebih 30 tahun lalu.

Maka, tidak hairanlah kenapa lelaki warga emas berusia 60 tahun itu menyifatkan larangan berniaga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai satu tamparan hebat yang benar-benar membuatkannya jatuh terduduk.

Kata Mansyur, dia benar-benar lega apabila kerajaan memberi kelonggaran termasuk membenarkan para peniaga kembali beroperasi seperti biasa sejak sebulan lalu.

“Hari ke hari, perniagaan saya semakin rancak walaupun masih berdepan pelbagai kekangan termasuk perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Bercerita lanjut, Mansyur yang tinggal di Berek 12, di sini memberitahu dia mula berniaga colek di hadapan Wisma Persekutuan sekitar 1980-an dengan menggunakan kereta tolak kayu.

Lama-kelamaan, kereta tolak itu digantikan dengan motosikal roda tiga sebelum dia berjaya membeli sebuah van untuk dijadikan trak makanan lapan tahun lalu.

“Sepanjang lebih 30 tahun berniaga colek buah, pendapatan diperoleh tidaklah lumayan masih mampu dimanfaatkan bagi menyara keluarga dan membesarkan anak-anak.

“Alhamdulillah, sekarang anak-anak sudah dewasa, sudah ada kerjaya dan keluarga sendiri kecuali yang bongsu masih belajar di tingkatan enam. Selagi ada kudrat, saya mahu terus cari rezeki dan belum terfikir untuk berhenti berniaga,” katanya.

Dibantu salah seorang anaknya yang berusia 31 tahun, Mansyur berniaga colek mulai pukul 8.30 pagi hingga 4 petang setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu serta hari cuti umum.

Melalui perniagaannya yang berkonsepkan gerai trak makanan itu, Mansyur kini mampu meraih pendapatan kira-kira RM350 hingga RM450 sehari.

“Untung kami tidaklah besar mana kerana kos untuk membeli buah seperti nanas, betik, jambu, mangga, sengkuang dan kedondong pun sudah mencecah RM300 sehari. Sos pencicah pula saya buat sendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya