Geng Langau aktif curi motosikal di Pulau Pinang, Kedah diberkas - Utusan Malaysia

Geng Langau aktif curi motosikal di Pulau Pinang, Kedah diberkas

SOFFIAN Santong menunjukkan kerangka motosikal curi yang dibuang sindiket Geng Langau ke dalam Sungai Sedim, Kedah selepas dileraikan dalam sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Usianya baru 25 tahun tetapi sudah mempunyai 17 rekod jenayah dan mengetuai geng curi motosikal dikenali Geng Langau.

Namun lelaki yang berasal dari Kulim, Kedah yang aktif mencuri motosikal di sekitar negeri ini dan Kedah itu akhirnya ditahan dalam serbuan sepasukan polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada Khamis lalu.

Dalam serbuan di dua rumah di Labu Besar, Kulim, Kedah kira-kira pukul 12.30 malam itu, enam Geng Langau lain yang berusia antara 18 hingga 34 tahun turut ditahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, dalam operasi itu pihaknya turut merampas tiga motosikal dipercayai dicuri, peralatan mencuri motosikal dan komponen motosikal yang sudah dileraikan.

Katanya, hasil siasatan lanjut suspek mendedahkan lokasi rangka motosikal curi yang dibuang ke dalam Sungai Sedim, Kedah untuk dilupuskan.

“Dengan bantuan Unit Selam Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, kita menemukan 25 kerangka motosikal di dalam sungai itu yang disyaki dicuri sekitar daerah Timur Laut, Seberang Jaya serta Kulim dan Sungai Petani, Kedah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Soffian, Geng Langau itu dipercayai aktif melakukan jenayah curi motosikal sejak 2015 dan mempunyai rangkaian tersendiri termasuk pembeli komponen motosikal.

Malah jelasnya, sindiket berkenaan juga bergerak mengikut ‘permintaan’ pembeli yang mahukan komponen daripada jenis motosikal tertentu dan dijual pada harga lebih murah daripada pasaran.

“Sehubungan itu kita masih lagi mengesan saki baki sindiket itu termasuk empat Geng Langau yang masih bebas,” katanya.

Tambah beliau, lima daripada tujuh ahli Geng Langau juga mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah dan kesemua mereka direman untuk disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya