BALIK PULAU: Polis berjaya menumpaskan sindiket pemerasan dan penipuan yang didalangi suspek menyamar sebagai ‘Inspektor Firdaus’ selepas menahan seorang perancang utama bersama lapan konco termasuk teman wanitanya di Perak dan Selangor minggu lalu.
Tangkapan kesemua suspek terdiri lima lelaki dan empat wanita tempatan berusia 14 hingga 60 tahun itu dijalankan sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD) dari 12 hingga 14 Mac lalu.
Suspek pertama berusia 47 tahun ditahan di kediaman sewanya di sebuah rumah teres dua tingkat di Klang, Selangor manakala suspek lain yang bertindak sebagai pemilik akaun bank diberkas di lokasi berasingan.
Tangkapan tersebut turut melibatkan pasangan anak beranak iaitu ibu berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Slim River, Perak bersama tiga anaknya masing-masing berumur 14, 15 dan 18 tahun.
Bagaimanapun, tiga remaja yang dikatakan menjadi saksi dalam kegiatan yang dilakukan ibunya itu telah dibebaskan dengan jaminan polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, penahanan suspek dilakukan dalam enam serbuan berasingan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang suri rumah berusia 52 tahun pada 10 Mac lalu.
Menurutnya, pengadu mendakwa didatangi dua penjawat awam lelaki yang memakai ‘vest’ dan menaiki kenderaan polis ke rumahnya di Bayan Lepas pada 10 Mac lalu dan dimaklumkan akan dihubungi seorang pegawai polis.
“Pengadu menghubungi semula pegawai bergelar ‘Inspektor Firdaus’ melalui nombor yang diberi bagi mendapatkan penjelasan tentang penahanan suaminya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Lokap Berpusat Bayan Baru, 18 Februari lalu.
“Menerusi panggilan tersebut, suspek telah meminta pengadu membayar sebanyak RM200,000 jika mahu suaminya dibebaskan tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
“Wanita itu bersetuju membuat pembayaran dan telah memasukkan RM80,000 melalui dua akaun berasingan pada 24 Februari lalu dan RM20,000 sehari kemudian,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Balik Pulau, di sini hari ini.
Anbalagan memberitahu, dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian RM100,000 dan terpaksa menggadaikan keretanya jenis Honda Accord bagi mendapatkan wang tersebut.
“Hasil soal siasat, suspek utama yang diberkas polis telah membuat pengakuan terlibat dalam kejadian pemerasan dan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis ke atas mangsa berkenaan.
“Dia juga mengaku terlibat dengan beberapa kes sama melibatkan Kontinjen Pulau Pinang, Melaka dan Sabah dipercayai sejak tahun 2016,” jelasnya perancang utama tersebut mempunyai 33 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah, dadah dan komersil.
Berhubung modus operandi sindiket, beliau berkata, suspek terbabit bertindak menghubungi mana-mana penjara di negara ini untuk mendapatkan maklumat diri serta nombor telefon waris banduan atau Orang Kena Tahan (OKT) sebagai peminjam akaun.
“Suspek sangat licik dengan menggunakan beberapa taktik penipuan dan penyamaran termasuk akan melayari internet khususnya portal berita online yang memaparkan tangkapan kejayaan kes jenayah atau narkotik terkini.
“Dia akan mendapatkan maklumat berhubung tempat tangkapan dan jenis kesalahan khususnya kes-kes tangkapan menarik seperti kes dadah atau memiliki pistol dan kemudiannya akan menghubungi balai bagi mendapatkan maklumat,” ujarnya.
Tambah beliau, seramai enam suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam. -UTUSAN ONLINE