JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya melumpuhkan kegiatan kumpulan kongsi gelap dikenali Geng 21 Kluang susulan penahanan 10 ahlinya dalam lapan siri serbuan di tiga daerah di negeri ini, 16 Januari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan selama satu jam bermula pukul 2.30 pagi itu berjaya menahan kesemua lelaki terbabit berusia 29 hingga 44 tahun.
Beliau berkata, mereka diberkas di sekitar kawasan di Kluang, Yong Peng dan daerah ini.
“Semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta jenayah kekerasan.
“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas dua helai baju disyaki memaparkan lambang Geng 21, 17 buah telefon bimbit serta dua bilah pisau lipat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, dengan penahanan kumpulan gengster terbabit, polis berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah kekerasan yang melibatkan kes samun berkumpulan dengan mendatangkan cedera parah.
Tambahnya, kongsi gelap itu disyaki aktif melakukan kegiatan pemerasan di tapak projek pembinaan, ugutan jenayah serta mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata di daerah Kluang dari tahun 2019 hingga tahun lalu.
“Daripada jumlah tersebut, lapan daripada suspek diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) untuk siasatan lanjut.
“Seorang suspek telah dituduh dibawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan telah mengaku di mahkamah serta dikenakan hukuman denda RM1,500 manakala seorang lagi suspek dibebaskan,” katanya. -UTUSAN ONLINE