Gara-gara cuba nasib rentas negeri, lima ditahan polis - Utusan Malaysia

Gara-gara cuba nasib rentas negeri, lima ditahan polis

KENDERAAN pacuan empat roda yang digunakan lima pekerja kilang sawit untuk merentas negeri ditahan di Kilometer 43, Jalan Temerloh-Bahau di Bera, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Gara-gara tindakan ‘mencuba nasib’ untuk merentas negeri, lima pekerja kilang kelapa sawit dari Negeri Sembilan ditahan anggota polis dalam satu sekatan jalan raya di daerah ini semalam.

Lelaki berusia 23 hingga 38 tahun itu ditahan pada pukul 3.45 petang di Kilometer 43, Jalan Temerloh-Bahau di sini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mansor Samsuddin berkata, mereka terdiri daripada seorang warga tempatan dan empat warga asing yang sedang dalam perjalanan dari Gemenceh, Negeri Sembilan ke sebuah kilang sawit di Kertau, Maran.

“Ketika tiba di sekatan jalan, polis menahan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu yang dinaiki mereka untuk pemeriksaan.

“Namun dalam pemeriksaan itu, mereka gagal mengemukakan surat kebenaran rentas negeri manakala empat warga asing tersebut juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua yang ditahan bersama kenderaan digunakan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,Seksyen 55A dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mansor berkata, kesemua lelaki yang ditahan turut dihantar ke Klinik Kesihatan Triang untuk ujian saringan Covid-19 namun mereka tidak mempunyai sebarang simptom Covid-19.

“Lelaki warga tempatan itu direman empat hari, manakala empat warga Pakistan yang lain direman selama 14 hari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya