PETALING JAYA : Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh di Jalan Telawi 3, Bangsar, di sini, semalam diberkas.
Suspek berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di Jalan 11 Selayang Baru, Batu Caves di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, hasil serbuan tersebut, seunit telefon pintar turut dirampas.
“Semakan lanjut ke atas suspek mendapati dia mempunyai rekod berkaitan kes dadah.
“Berdasarkan keterangan, suspek ada memaklumkan lokasi suspek lain yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Anuar, pemeriksaan yang dilakukan di rumah kesemua suspek hasil maklumat tersebut mendapati mereka sudah melarikan diri.
“Tindakan lanjut bagi mengesan suspek berkenaan sedang giat dijalankan,” jelasnya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi semalam, seorang pemuda berusia 28 tahun maut manakala rakannya,30, parah selepas terlibat dalam pergaduhan selepas keluar minum di sebuah kedai di Jalan Telawi. – UTUSAN ONLINE