PETALING JAYA: Dendam lama dipercayai punca pergaduhan melibatkan beberapa individu sehingga seorang maut dalam kejadian di Jalan Telawi dekat sini semalam.
Lelaki berusia 28 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat cedera parah dipercayai ditoreh selain ditikam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakan dalam perjalanan ke kenderaannya selepas minum di sebuah kedai berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, mangsa kemudian terjumpa suspek yang dipercayai mempunyai dendam sebelum berlaku pergaduhan.
“Akibat pergaduhan tersebut mangsa cedera serius akibat ditoreh dengan senjata tajam dan ditikam dengan botol minuman keras.
“Mangsa kemudian melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah sebelum terbaring di hadapan sebuah kedai serbaneka sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anuar, rakan mangsa berusia 30 tahun pula cedera parah di bahagian muka menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Katanya, polis telah mengenal pasti suspek dan mengesan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Terdahulu video pergaduhan ini yang dipercayai dirakam oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian serta tular dalam media sosial.