Gadis cari bapa untuk jadi wali - Utusan Malaysia

Gadis cari bapa untuk jadi wali

NIK ZULKIFLY NIK HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gadis yang bakal melangsungkan perkahwinan memohon bantuan orang ramai untuk membantu mengesan bapa kandungnya yang telah menghilangkan diri sejak 26 tahun lalu.

Nur Shahirah Nik Zulkifly, 28, yang berasal dari Kampung Pulau Serai, Pekan, dekat sini berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengesan kedudukan bapa kandungnya itu.

Menurutnya, bapanya, Nik Zulkifly Nik Hussain, 57, diketahui alamat terakhirnya adalah di Rantau Panjang, Kelantan, tiga tahun lalu.

“Ayah meninggalkan saya ketika berusia dua tahun dan menurut ibu selepas itu mereka berpisah.

“Sejak dari itu, ayah bukan sahaja tidak pernah muncul, malah, langsung tidak menghubungi dan mengirim berita… hingga kini tidak tahu di mana dia berada dan menetap di mana.

“Pelbagai usaha telah saya lakukan untuk menjejakinya dengan bertanya kepada ibu tiri dan saudara terdekat, namun, semua usaha itu gagal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Nur Shahirah yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia bimbang jika gagal menemui bapa kandung yang juga wali kerana urusan perkahwinan mungkin menjadi lebih rumit.

“Kehadiran atau kemunculan ayah kandung sangat diperlukan kerana perkahwinan sepatutnya dilangsungkan pada bulan Mac ini tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ketiadaan wali.

“Dalam pada itu, pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mensyaratkan supaya berita tentang pencarian wali ini disiarkan dalam mana-mana akhbar selewat-lewatnya 31 Mac ini.

“Perkahwinan saya ini bakal tertangguh kerana pihak Mahkamah Syariah Pekan yang akan menetapkan perkahwinan sekiranya gagal mengesan ayah kandung dan berharap usaha pencarian ayah untuk menjadi wali dapat diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu, Nur Shahirah berharap bapanya tampil dan sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat, boleh menghubunginya di talian 017-3003062 dengan kadar segera.

“Saya berharap keluarga terdekat bapa, ibu tiri dan sesiapa yang mengenali sekiranya terbaca berita ini boleh menghubungi saya seperti di talian tersebut.

“Bagaimanapun segala persiapan untuk majlis perkahwinan akan diuruskan sejurus urusan mencari ayah selesai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN