KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerima Anugerah Merit Ibn Khaldun bagi Tranformasi Sosial Peringkat Global 2020.
Beliau menerima anugerah yang disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tersebut mewakili petugas barisan hadapan sektor kesihatan dan keselamatan di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini hari ini,
Dalam titah baginda, Tunku Azizah Aminah Maimunah menzahirkan rasa bangga terhadap golongan barisan hadapan Malaysia yang menjadikan Malaysia sebagai negara yang pantas mengawal penularan pandemik itu.
“Saya sangat berbangga kerana Malaysia berjaya menyediakan beberapa respons dengan cepat bagi melindungi rakyat Malaysia. Usaha ini bukan daripada kerajaan sahaja tetapi adalahj usaha daripada rakyat.
“Kita tahu dengan pandemik ini, kehidupan menjadi lebih sukar namun pekerja barisan hadapan terus menjalankan tugas dengan cemerlang. Saya sangat menghargai jasa pekerja-pekerja barisan hadapan yang telah bekerja keras sepanjang pandemik,” titah Seri Paduka.
Tunku Azizah Aminah Maimunah bertitah, anugerah tersebut adalah bagi menzahirkan penghargaan, penghormatan serta mengiktiraf kerja keras dan usaha mereka sepanjang pandemik.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dan Rektor UIAM, Prof Ir. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Sementara itu, dalam satu kenyataan akbhbar, UIAM berkata, penganugerahan tersebut melambangkan penghargaan yang tidak terhingga usaha dan jasa mereka memerangi pandemik Covid-19.
“Penganugerahan ini bagi menghargai jasa-jasa dan usaha para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang melanda negara kita sejak tahun lalu dan masih belum berakhir sehingga kini,” katanya.
Majlis tersebut dijalankan pada skala yang kecil dan mengikut segala kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – UTUSAN ONLINE