PETALING JAYA: Fasa peralihan monsun yang bermula sejak 16 Mac lalu dan dijangka tamat pada pertengahan Mei ini, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 11 November tahun lepas.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) , semasa fasa peralihan ini berlaku, rantau negara akan mengalami sedikit ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam masa yang singkat.
“Dijangka keadaan tersebut bermula pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pendalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan tersebut. – UTUSAN ONLINE