KEMAMAN: Sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama enam kru termasuk tekong dikhuatiri hilang di Perairan Kemaman di sini selepas terputus hubungan sejak semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot yang dinaiki kesemua pemancing itu dilaporkan keluar ke laut sejak Isnin lalu dan sepatutnya pulang pada hari ini.
Katanya, mangsa yang terlibat ialah Mohd. Hafizol Hisham Zakaria, 29; Mohd. Samerin Suhaimi, 29; Rosidi Mohamad, 22; Mohamad Zulkarnain Mohamat Nor, 20; Muhammed Hazim Luqman Zakaria, 19, dan Mohamad Shahrul Ainmie, 19.
“Laporan kehilangan mangsa dibuat salah seorang ahli keluarga kira-kira pukul 8.50 malam, semalam dan operasi mencari serta menyelamat digerakkan dengan menyalurkan maklumat awal kepada aset-aset Maritim Malaysia yang melakukan rutin rondaan bagi membuat pemantauan dan pengesanan.
“Kita khuatir bot mereka mengalami kerosakan berikutan cuaca buruk akibat perubahan monsun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhammad Suffi, operasi itu turut dibantu Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot berkenaan dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan. -UTUSAN ONLINE