PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam individu kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada 6 serta 7 Januari tahun lalu.
Menerusi operasi yang dijalankan Cawangan Khas Bukit Aman itu, lima daripada individu yang ditahan adalah warganegara tempatan sementara seorang lagi warga Indonesia.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika tangkapan, dua helai bendera kumpulan Daesh, sebilah parang dan pisau turut dirampas.
Kata beliau, kesemua yang ditangkap adalah anggota Anshorullah at Tauhid, sel kumpulan Daesh yang ditubuhkan pada Oktober 2019.
“Kumpulan ini ditubuhkan bertujuan mempromosikan ideologi salafi jihadi, merekrut anggota baharu dan melancarkan serangan di Malaysia.
“Siasatan PDRM mendapati tiga daripada individu yang ditahan mengeluarkan ancaman bunuh kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa menteri kabinetnya kerana mengamalkan kerajaan thoghut.
“Selain itu mereka juga merancang melancarkan serangan ke atas pusat perjudian di Genting Highlands, Pahand dan kilang arak di sekitar Lembah Kelang,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, kata Abdul Hamid, hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan tidak mempunyai sebarang perancangan dan persediaan untuk membuat serangan berkenaan.
“Justeru, dua suspek tempatan dan seorang suspek Indonesia yang mengeluarkan ancaman berkenaan didakwa di bawah seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana mempunyai milik, jagaan atau kawalan bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas atau perbuatan pengganas dan telah dijatuhkan hukuman penjara.
“Tiga yang lain pula dibebaskan atas arahan timbalan pendakwa raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE