Empat syarikat pemaju disenarai hitam - Utusan Malaysia

Empat syarikat pemaju disenarai hitam

SUAMI isteri, Hamidon Hamid, 64, (dua dari kanan) dan Samara Abdul Wahab, 53, (tiga dari kanan) menerima replika kunci rumah PR1MA Pahang dari Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) pada majlis penyerahan rumah tersebut di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, di Kuantan, Pahang. UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri tidak akan menjual dan memproses permohonan pembelian tanah baharu kepada empat syarikat pemaju perumahan yang sudah dikenal pasti ekoran kegagalan menyiapkan beberapa projek perumahan di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tersebut bagi mengelakkan kerugian berterusan ditanggung kerajaan negeri.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri telah mengambil kira kegagalan syarikat terbabit boleh mendatangkan banyak masalah dan kerugian bukan sahaja kerajaan negeri, malah rakyat.

“Setakat ini ada tiga atau empat syarikat pemaju yang tidak menjalankan kerja pembangunan di atas tanah yang dibeli dan perkara ini mendatangkan kerugian kepada pelbagai pihak.

“Kita sudah memutuskan untuk tidak menjual atau menawarkan tanah baharu kepada mereka, selagi mereka tidak memajukan terlebih dahulu tanah yang mereka beli sebelum ini.

“Kebanyakan syarikat ini ketika mengemukakan permohonan untuk membeli tanah, mereka cakap nak buat projek perumahan… selepas tempoh tertentu, tidak ada sebarang kerja dilakukan dan tanah berkenaan tidak dimajukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri dan merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Projek dibangunkan syarikat pemaju Connection Ventures Sdn. Bhd. itu diluluskan pada 2013 dan merangkumi dua fasa dengan jumlah keseluruhan 203 unit yang dijual pada harga antara RM150,000 hingga RM200,000.

Sementara itu, menurut Wan Rosdy, sebanyak 31 projek perumahan PR1MA Pahang sudah dibatalkan berikutan syarikat pemaju yang diberi tanggungjawab itu didapati gagal menyiapkan projek mengikut syarat dan tempoh masa ditentukan.

“Sebelum menamatkan kontrak kita terlebih dahulu berbincang dan memberi peluang sama ada mereka dapat meneruskan projek berkenaan.

“Namun begitu, keputusan menamatkan perkhidmatan syarikat kontraktor terbabit dilakukan sekiranya mereka mengakui tidak mampu lagi menyiapkan projek mengikut syarat dan tempoh ditetapkan.

“Banyak alasan diberikan oleh mereka (syarikat pemaju) antaranya masih ada projek lain dibawah syarikat mereka yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Dengan itu, katanya, projek yang dibatalkan akan ditawarkan semula kepada syarikat pemaju lain.

“Bagi projek tersebut kita akan lantik syarikat atau kontraktor baharu yang berminat bagi memastikan usaha kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Pahang dapat terus dilaksanakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN