BALING: Polis menahan empat lelaki tempatan disyaki ahli Geng Farid Kancil Silver yang terlibat dalam kes samun dan ragut selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Danglau, Mukim Sok, Sik dekat sini, Isnin lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kesemua suspek berusia antara 21 tahun hingga 35 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Khas Ibu pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Baling berdasarkan maklumat serta risikan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, hasil maklumat dan soal siasat ke atas empat suspek itu, seorang lagi lelaki tempatan ditahan kira-kira pukul 5.35 petang, hari sama namun hasil pemeriksaan tidak menemukan apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
“Hasil soal siasat ke atas lima suspek itu, polis ke sebuah ladang kelapa sawit di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang dekat sini keesokan harinya dan merampas sebuah kereta Perodua Kancil yang dilaporkan hilang di Alor Setar.
“Kita juga merampas sebuah kereta jenis Hyundai yang dilaporkan hilang di Sungai Petani tetapi ditinggalkan di Sik kerana terlibat dalam kemalangan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Baling.
Kata beliau, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave, pisau, ‘allen key’, pelbagai jenis telefon bimbit, topi keledar, jaket, kad pengenalan dan kad bank mangsa samun serta dadah heroin seberat 44.22 gram dan syabu 10.40 gram.
Shamsudin berkata, empat daripada lima suspek mengaku terlibat dalam kejadian ragut dan samun berkumpulan manakala seorang lagi suspek berusia 35 tahun tidak mengaku terlibat tetapi rumahnya dijadikan tempat menghisap dadah empat suspek tersebut.
Tambahnya, hasil soal siasat awal mendapati empat daripada lima suspek itu mengaku terlibat dalam enam kes samun dan tiga kes curi kenderaan di daerah Baling, Kuala Muda, Alor Setar dan Padang Terap dengan kes dadah disyaki melibatkan semua tangkapan.
“Kita percaya polis dapat menyelesaikan 10 kes samun dan curi kenderaan serta dadah di daerah Baling, Kuala Muda, Kota Setar, Padang Terap dan Sik yang dilakukan oleh suspek sejak setahun lalu,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek yang positif dadah itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 394 KK kerana melakukan samun berkumpulan, Seksyen 379A KK iaitu curi kenderaan, Seksyen 29 (B) dan (C) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE