KUALA LUMPUR: UMNO digesa tidak bekerjasama dengan mana-mana pemimpin daripada ‘Kluster Pengkhianat’ kerana perbuatan mereka tidak bermoral walaupun tidak menyalahi undang-undang.
Dalam ucapan dasar Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan juga menggesa rakyat supaya terus membenci pemimpin lompat parti dan tidak lupa terhadap pemimpin yang melakukan perkara itu.
“Kita juga tidak mahu ada pemimpin kita berterusan bekerjasama dengan Kluster Pengkhianat. Apatah lagi menjadi ‘Gembala Politik’ mengusung orang kita ke sana ke mari memberi makan dan minum bertujuan menggemukkannya dan akhirnya untuk disembelih menjadi makanan kepada tuan besar mereka dari ‘Kluster Pengkhianat’ itu.
“Rakyat mesti sepakat mencemuh tindakan tidak bermoral mereka kerana mengkhianati mandat rakyat adalah perbuatan yang tidak bermoral. Membelakangkan kehendak rakyat juga adalah satu pengkianatan yang mesti ditentang,” katanya.
Zahida Zarik berkata, parti politi bukan sekadar dilihat dari segi ideologi dan dasarnya semata-semata, tetapi himpunan pengikut dan pemimpinnya.
“Sekiranya di sana berhimpunnya ramai pengkhianat yang melompat ke sana ke sini, ia tak ubah seperti hanya kandang yang tak sesuai dihuni oleh mereka yang bermaruah,” katanya. – UTUSAN ONLINE