PUTRAJAYA: Penangguhan pelaksanaan pendaftaran automatik pengundi berusia 18 tahun dijangka menyebabkan anak muda tidak lagi percaya kepada sistem demokrasi di negara ini.
Kebimbangan tersebut disuarakan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha yang khuatir kelewatan usaha pihak berkuasa dalam isu itu seolah-olah cuba sengaja dilambatkan.
“Pemimpin politik senior wajar beri komitmen melaksanakan Undi18 secara jelas dan berencana atau jika tidak dikhuatiri anak muda akan mengalami trust defici’ kepada demokrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia sebagai mengulas aksi perhimpunan haram lebih 200 peserta di laluan ke Parlimen di ibu negara semalam bagi menuntut pelaksanaan segera Undi18.
Gerakan itu diasaskan Persatuan Pengundi Muda yang kemudian dijadikan manifesto Pakatan Harapan sebagai Janji 17 untuk kempen menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018.
Ia selepas itu dibentangkan sebagai Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) pada 2019 yang disokong sebulat suara termasuk wakil pembangkang dan bakal diwarta pada 1 Julai ini.
Namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini mengumumkan Undi18 tidak mungkin dilaksanakan tahun ini, malahan hanya mampu dibuat paling awal pun pada 1 September 2022.
Pendedahan itu ternyata memeranjatkan pelbagai pihak, sekali gus mengecewakan seramai 1.2 juta individu berusia 18 tahun hingga bawah 21 tahun untuk didaftarkan menjelang PRU ke-15.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kelihatan agak terdesak setelah dikritik banyak pihak dilapor cuba berdalih dengan ramai pemimpinnya menyalahkan SPR konon kerana tidak cekap.
Mengulas lanjut, Jufitri berkata, beliau turut kesal apabila ada tokoh politik terkenal menyindir bakal pengundi berusia kurang 21 tahun itu sebagai mentah dan akan memilik kerajaan mentah.
“Kita seharusnya cari jalan bagi didik soal kematangan belia melalui aneka program serta agenda pendidikan siasah, demokrasi dan kenegaraan warganegara bertanggungjawab,” katanya.
Peranan ibu bapa, orang tua dan mentor ujarnya, juga penting dalam membimbing belia buat mengundi calon dan parti dengan sebab rasional yang membantu percepat proses kematangan.
Mereka jelasnya, turut perlu diberikan hak untuk memahami dan mendapatkan maklumat politik yang betul serta akses secukupnya sebelum dapat membuat sesuatu pilihan ketika PRU kelak.
Jufitri menambah, belia harus dididik untuk kematangan minda sebagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh yang menjadi khalifah pada usia muda hasil bimbingan Mentor Sheikh Shamsudin Aq.
“Golongan dewasa dan peneraju siasah sepatutnya komited menjayakan Undi18 kerana saya bimbang belia selepas ini mungkin hilang keyakinan. – UTUSAN ONLINE